TABUNG SIMPANAN PEKERJA (CPF)

S : Adakah orang-orang Islam tertakluk kepada undang-undang CPF yang menganggap wang caruman si mati bukan harta pusaka? Apakah wang CPF itu diwajibkan zakat?

J : Undang-undang CPF yang ada, mentakrifkan bahawa wang simpanan tabung CPF bukanlah harta pusaka. Undang-undang ini bermaksud menjaga wang simpanan pencarum ini daripada diambil atau dikuasai oleh undang-undang lain seperti undang-undang bankruptcy atau didakwa oleh orang yang memberi hutang (creditors). Undang-undang CPF itu mentakrifkan bahawa wang CPF itu adalah hak mutlak si pencarum sahaja dan tidak boleh terjejas dengan apa-apa undang-undang lain termasuk undang-undang Islam. Mengikut undang-undang Islam pula, wang-wang yang tersimpan di CPF atas nama pencarum telah menjadi hak milik si pencarum. Dengan demikian wang-wang itu akan menjadi pusaka setelah wafatnya si pencarum jika ia mati sebelum sempat menerimanya. Dengan demikian, harta pencarum hendaklah dibahagikan mengikut undang-undang Islam (faraid).

Sebagai seorang Islam, wajib ia membahagikan wang CPFnya menurut hukum faraid. Walau bagaimanapun, kalaulah orang Islam mahukan hukum Islam dijalankan, dia masih boleh dijalankan, iaitu janganlah menamakan sesiapapun untuk menjadi penamanya (nominee) bahkan tinggalkan ruang penama itu kosong supaya peninggalan CPF itu diserahkan kepada Public Trustee dan- pihak Public Trustee akan meminta Sijil Warisan daripada Mahkamah Syariah untuk dibahagikan secara hukum Islam. Sayugia dinasihatkan bahawa wang simpanan CPF itu jika melebihi nisab dan telah cukup haulnya, wajib dikeluarkan zakatnya. Maka waris-waris sebelum membahagikan wang itu hendaklah menunaikan wang zakatnya dan menghajikan untuk si mati itu, jika ia belum haji, membayarkan hutang piutangnya, jika ia berhutang. Baki dari wang itu barulah menjadi harta peninggalan si mati untuk diagih-agihkan kepada warisnya.

 

 

[ Home ]