WANG FAEDAH BANK

S : Apakah hukum wang faedah simpanan dalam bank termasuk Bank Simpanan Pejabat Pos?

J : Masalah ini telah banyak kali dibincangkan dari semasa ke semasa oleh para ulama Islam. Sebahagian ulama telah menghalalkan dan sebahagian yang lain telah mengharamkannya.

Mereka yang mengharamkannya berpendapat bahawa wang faedah dari simpanan bank adalah riba. Ini kerana sebahagian dari perniagaan bank ialah memberi pinjaman dengan mengenakan bunga dan sebahagian daripada bunga itu diberikan kepada yang menyimpan. Kedua-duanya adalah riba yang haram pada pandangan syarak. Dari itu haram diterima untuk penggunaan sendiri.

Mereka yang menghalalkan pula berpendapat bahawa wang yang disimpan dalam bank bukanlah bentuk hutang yang dihutangkan oleh si penyimpan wang kepada bank itu. Bahkan ianya bermaksud menyimpan wangnya secara sukarela demi menjaga wangnya itu dari kehilangan ataupun bermaksud untuk menabung. Tidak ada sebarang aqad syarie berupa lafaz antara pihak penyimpan dengan pihak bank.

Dari itu faedah yang diberikan oleh bank, pada pendapat ulama yang menghalalkan, bukanlah dari jenis riba hutang sehingga boleh dianggap sebagai bunga terhadap hutang itu. Bahkan ianya adalah berbentuk bantu-membantu antara satu sama lain. Pihak Jawatankuasa Fatwa cenderung kepada pendapat tersebut lebih-lebih lagi kalau bank itu Bank Simpanan Pejabat Pos yang ditadbirkan oleh pemerintah demi menjaga maslahat rakyat jelata yang mana segala kebaikan dan kountungan daripada bank itu akan kembali semula kepada masyarakat umum dan negara amnya. Dari itu faedahnya tidak termasuk dalam riba yang diharamkan.

Antara ulama-ulama yang telah memfatwakan halalnya faedah dari simpanan bank khususnya Bank Simpanan Pos adalah Almarhum Sheikh Abdullah Muhammad Zawawi yang pernah menjadi Mufti Mazhab Shafie di Makkah pada kurun 14 Hijriah dan Sheikh Al-Azhar, Almarhum Sheikh Mahmood Shaltut.

Walau bagaimanapun berdasarkan pendapat ulama yang mengharamkan, wang faedah itu boleh juga diambil tetapi bukan untuk kegunaan sendiri bahkan ia wajib diserahkan kepada Baitul Mal untuk kepentingan umum kaum Muslimin.

 

 

[ Home ]