Masalah Insurans adalah masalah baru. Para ulama seluruh dunia masih belum mencapai
kata sepakat mengenainya dan masalah ini masih diperbincangkan. Sebahagian ulama
mengharuskannya, sementara sebahagian yang lain tidak membolehkannya. Ulama-ulama yang
tidak membolehkan memberi alasan, antaranya, pada insurans terdapat unsur-unsur riba,
perjudian dan kesamaran di dalam akad.
Ulama-ulama yang mengharuskannya pula memberi alasan, antaranya, insurans adalah
perkara baru yang tidak ada persamaannya dengan muamalah pada zaman dahulu dan insurans
ada faedahnya. "Skim Insurans Berkumpulan" juga termasuklah dalam masalah yang
dipertelingkahkan ini.
Keputusan yang pernah dicapai oleh ulama-ulama dalam konferensi yang diadakan oleh
Jabatan Kajian Hukum Agama Islam, Al-Azhar pada bulan Jun 1965 di Kahirah berbunyi:
- Insurans yang ditadbirkan oleh syarikat kerjasama yang dianggotai oleh semua
anggota-anggotanya untuk menjaga maslahat mereka dan apa yang diperlukan oleh
anggota-anggotanya dari segi bantuan dan perkhidmatan, adalah seperkara yang diakui oleh
syarak dan ia dari jenis bantu-membantu dalam kebajikan.
- Begitu juga insurans syarikat mirip kerjasama (kooperatif) bagi maslahat masyarakat umum
dan apa yang termasuk di dalamnya dari perkara seperti pengangguran, keuzuran, umur tua,
kemalangan waktu bekerja dan yang seumpamanya, pihak konferensi telah memutuskan jenis
insurans seperti ini adalah diharuskan. Dari itu ternyata bahawa insurans jenis kooperatif
sahajalah yang dibolehkan oleh persidangan ulama antarabangsa itu.
Ini bererti juga bahawa insurans yang dikelolakan oleh syarikat-syarikat swasta yang
bertujuan untuk mendapat keuntungan peribadi atau untuk faedah segelintir manusia telah
tidak dapat pengakuan daripada para ulama yang menyertai persidangan Islam antarabangsa
ini.
Oleh kerana Skim Insurans Berkumpulan ini tidak dapat dipastikan sama ada termasuk
dalam insurans jenis kooperatif ini ataupun bukan, maka Jawatankuasa Fatwa berpendapat
bahawa masalah ini terpulang kepada diri masing-masing untuk memilih pendapat yang mana
satu yang perlu bagi dirinya. Sebagaimana yang termaklum seseorang itu harus berhati-hati
dan berjagajaga dalam menentukan kadar darurat dan keperluannya.