ORANG YANG MENGHINA NABI MUHAMMAD
SAW S : Apakah
hukumnya orang yang menghina Nabi Muhammad dan Islam?
J : Orang yang menghina Nabi Muhammad dan Islam menjadi murtad. Murtad
adalah seburuk-buruk jenis kufur dan yang paling berat hukumnya. Murtad bererti memutuskan
keagamaan Islam dari seseorang. Ia boleh terjadi dengan perkataan, perbuatan, iktikad dan
azam.
Perbuatan yang boleh membuat seseorang itu menjadi murtad seperti sujud kepada berhala
atau kepada matahari. Sedang perkataan yang boleh membuat seseorang itu menjadi murtad
adalah jika ia melafazkan kata-kata yang mempunyai maksud penghinaan kepada agama Islam
sama ada dari kepercayaannya atau secara berungkal atau dengan memperkecilkan Islam.
Selain dari perbuatan termasuk juga iktikad seperti iktikadnya bahawa dunia ini kekal atau
Penciptanya tidak berkuasa, atau menolak kenabian seorang nabi daripada nabi-nabi yang
diutus atau mendustakannya atau memaki nabi atau memperkecilkannya atau mempercayai adanya
nabi selepas Nabi Muhammad saw. Begitu juga jika seseorang itu mengubah hukum Allah dengan
menghalalkan yang haram seperti arak atau katanya zina itu halal atau menafikan sesuatu
yang menjadi wajib tiap Muslim mengetahuinya dari hukum syarak atau menurut hukum ijmak
seperti ianya menambah rakaatnya di dalam sembahyang atau ia mengaku nabi selepas Nabi
Muhammad saw.
Berkaitan dengan hal ini seperti perkara Salman Rushdie di mana mengikut laporan dari
bukunya "Ayat-ayat Syaitan" bahawa ia telah memperkecilkan Nabi Ibrahim a.s. dan
Nabi Muhammad saw dan juga menghina isteri-isteri Nabi Muhammad saw. Perbuatannya itu
adalah termasuk dari jenis yang membuat ianya menjadi murtad dan terkeluar dari agama
Islam.
Adapun hukum orang yang murtad itu adalah ia disuruh bertaubat dan kembali kepada
Islam. Jika ia enggan, dikenakan hukum bunuh.