WANG SIMPANAN PEKERJA (CPF)

S : Adakah wang simpanan pekerja (CPF) wajib dizakatkan?

J : Termaklum bahawa wang simpanan pekerja (CPF) itu disimpan oleh Lembaga CPF untuk menjadi pembantu setiap pekerja pada masa tuanya. Mengikut undang-undang, wang ini tetap menjadi hak milik pencarum; tidak boleh bertukar milik kepada sesiapa pun selagi pencarum masih hidup. Apabila pencarum wafat, wang CPF-nya menjadi sebagai harta peninggalan si pencarum dan dibahagi mengikut kemahuan pencarum sendiri. Wang-wang yang tersimpan dalam tabung CPF ini walaupun terikat dengan undang-undang yang tidak membolehkan pencarum menggunakan wang itu dengan sesuka hatinya melainkan pada perkara yang diizinkan oleh Pemerintah seperti membeli rumah pangsa HDB atau rumah-rumah privet, membeli saham-saham yang diakui dan membayar bil-bil hospital bagi diri sendiri dan keluarga yang karib sahaja.

Namun bagaimanapun wang simpanan dalam tabung itu tetap menjadi hak milik si pencarum sehingga ia menerimanya apabila cukup umurnya 55 tahun atau sebagai harta peninggalannya setelah ia wafat. Ini bererti harta itu sudah sempurna menjadi hak milik si pencarum dan setiap harta yang sempurna telah (pasti) menjadi milik seseorang itu jika telah cukup nisab dan haulnya wajib dizakatkan. Ulama Fiqh (Mazhab Shafie) telah menggambarkan milik sempurna yang menjadi syarat utama wajib zakat sepertimana yang tersebut dalam kitab Al-Iqnak, karangan Shaikh Mohd Asy-Syarbini m.s. 184 - seperti berikut:

Erti milik sempurna: Tidak wajib zakat kepada sesiapa yang tidak memiliki milik sempurna seperti harta hamba abdi mukatab (yang membuat kontrek) dengan tuannya untuk membeli kebebasannya kerana ia berhak membatalkan kontreknya itu jika ia mahu.

Dan wajib zakat pada harta orang yang ditahan kebebasannya untuk menggunakan hartanya. Suruhan ini ditujukan kepada mereka yang menjaganya. Tidak wajib zakat pada harta wakaf, untuk bayi dalam kandungan kerana tidak ada kepastian hidup atau matinya. Dan wajib zakat:

  1. Terhadap harta yang dirampas.
  2. Terhadap harta yang tidak diketahui di mana ia berada (seperti binatang ternakan yang hilang).
  3. Terhadap hutang yang diingkari oleh orang yang berhutang.
  4. Terhadap harta yang berada di luar negeri sekalipun payah untuk mendapatkannya.
  5. Terhadap harta yang di miliki mengikut aqad (kontrek) sekalipun ia belum menerimanya kerana kontrek itu telah menandakan sempurna milik.

Dan dari Penentuan Kitab lain sepertimana yang dinyatakan dalam kitab Attaufah Juz: 3 m.s. 322:

Wajib zakat pada harta yang dirampas, dan yang dicuri dan yang hilang (seperti binatang ternakan sesat). Dan di antara yang wajib zakat juga adalah harta yang jatuh ke dalam laut, dan yang tertanam di suatu tempat serta terlupa tempatnya dan terhadap hutang yang diingkari oleh orang yang berhutang. Dan akan dinyatakan hukum zakat hutang mengikut kaul yang azhar kerana berlanjutan nizab dalam setahun.

Dan tidak wajib mengeluarkannya yakni zakat itu melainkan apabila ia telah menerima harta itu seperti telah ada padanya bukti atau diterangkan kepadanya oleh kadi negaranya atau ia sudah mampu menyelesaikan sekatan terhadap harta itu dengan tidak ada halangan. Dan barangsiapa mempunyai hutang tetapi ia adalah seorang yang tidak dalam kesempitan (mempunyai harta lain) dan tidak jadi keberatan baginya mengeluarkan zakat hartanya, atau telah kembali kepadanya harta-hartanya maka dengan demikian hendaklah ia mengeluarkan zakatnya bagi tahun-tahun yang telah lepas.

Dan dari kitab An-Nihaya Juz 3, m.s. 128.

Penerangannya adalah sama seperti yang ternyata di kitab At-Taubah hanya ia ada menambah dengan berkata: Yang kedua pendapat lama. Tidak wajib zakat kerana adanya sekatan bagi membiak terhadap harta itu dan sekatan bagi menguasainya maka ianya seumpama harta hamba abdi mukatab, tidak wajib zakat pada harta itu atas tuan kepada hamba itu. Tetapi jika seseorang itu mampu mengambil semula hartanya yang dirampas daripadanya, atau padanya bukti terhadap orang yang mengingkari atau telah diberitahu kepada Kadi dalam keadaan yang ianya menghukumkan mengikut pengetahuannya maka dalam keadaan demikian wajiblah zakat atasnya.

Dan tidak wajib mengeluarkan zakat sehingga kembali harta yang dirampas dan lain-lain dari apa yang dinyatakan tadi kerana tidak boleh dilaksanakan sebelum itu. Maka apabila kembali harta-harta tadi hendaklah dikeluarkan zakatnya dari tahun-tahun yang telah lepas. Dan kalau harta itu telah rosak sebelum dapat dilaksanakan zakatnya maka dalam keadaan yang demikian gugurlah zakatnya. Dan difaham dari itu bahawa harta yang tidak ada di sisi tuannya jika sedang dalam perjalanan untuk dihantarkan kepadanya tidaklah wajib atasnya zakat secara terus menerus bahkan haruslah dikira setelah sampai harta itu kepadanya iaitu sebagaimana telah dinyatakan dalam kitab Er-Raudhah dan diakui betul pendapatnya dalam kitab Majmuk.

Ini bererti kewajipan zakat terhadap sesuatu harta, bermula apabila sahaja cukup nisab dan haulnya, tetap masa menunaikannya adalah apabila telah boleh dilaksanakan. Oleh kerana wang CPF tadi terikat dengan undang-undang yang mana tidak membolehkan si pencarum mengeluarkan zakatnya, maka hukum wajib telah ada dengan cukup nisab dan haulnya sedang pelaksanaan mengeluarkan zakatnya adalah apabila mampu mengeluarkannya kelak, bermula dari tahun cukup nisab dan haulnya. Ini juga bererti orang-orang yang tidak dapat mengeluarkan zakat CPF-nya pada setiap tahun, tidaklah dianggap sengaja melambatkan zakatnya atau dikatakan berdosa kerana keadaan tidak membolehkannya.

 

  [ Home ]