Make your own free website on Tripod.com

 

WANG PAMPASAN/INSURANS

S : Apakah hukumnya wang pampasan yang diterima dari Insurans Nyawa?

J : Insurans Nyawa: terbahagi kepada dua bahagian:

  1. Wang yang dibayar oleh pemegang Polisi itu (si mati).
  2. Wang tambahan dari Syarikat Insurans.

Wang yang dibayar oleh Pemegang Polisi (si mati) adalah termasuk dalam harta pusaka yang waris-waris si mati boleh menerima bahagian masing-masing mengikut Hukum Faraid kerana wang ini bukanlah wang haram.

Wang tambahan dari Syarikat Insurans itu adalah wang syubhah yang diragukan halal atau haramnya. Ianya hendaklah diserahkan kepada Baitul-Mal untuk digunakan bagi faedah orang-orang Islam di Singapura seluruhnya.

Jikalau seseorang membeli insurans nyawa, apabila sampai ajalnya Syarikat yang berkenaan akan membayar wang yang diinsuranskannya bersama-sama dengan bonusnya kepada keluarga di mati. Adakah wang insurans itu haram bagi bekalan keluarga yang hidup?

Membeli, menjual dan menjadi Pengendali Insurans Nyawa hukumnya adalah haram, kerana sebab-sebab berikut:

  1. Dalam soal membeli insurans nyawa itu hukumnya tidak sah, mengikut keadah jual beli dalam Islam.
  2. Pembelian insurans nyawa itu adalah disifatkan sebagai suatu muamalah yang samar-samar (bergantung kepada nasib). Tiap-tiap kira bicara (transaction) yang tidak sah adalah haram penggunaannya; kerana Nabi saw melarang sebarang penjualan yang ada gharar (keuntungan yang menggalakkan tetapi tidak nyata).
  3. Pihak waris hanya berhak mendapat balik jumlah wang yang telah dibayar oleh simati semasa hidupnya untuk insurans itu.

Ini adalah kerana konsep insurans:

merupakan suatu yayasan yang diasaskan atas dasar riba;
ia bertentangan dengan semangat bantu-membantu yang dianjurkan oleh Islam;
menurut pandangan Islam orang yang lemah mesti dibantu dan dia diutamakan daripada yang lain. Semangat ini tidak terdapat dalam konsep polisi insurans nyawa;
sumbangan atau bayaran premium adalah tetap dan dimestikan;
wang itu dilaburkan menurut cara-cara yang tidak halal pada pandangan Islam;
bantuan atau kurnia yang diberikan kepada Pemegang Polisi Insurans tidaklah mengikut kemampuan Syarikat Insurans tersebut, tetapi mengikut ketetapan undang-undangnya;
untung yang didapati oleh pemegang Polisi insurans adalah dikira riba, kerana keuntungan ini tidak dapat dimasukkan ke dalam apa segi pun jenis Muammalah yang bercorak Islam;
insurans boleh mengakibatkan kes-kes jenayah;
pembelian polisi insurans dalam syarikat-syarikat asing akan menambahkan kekuatan ekonomi orang-orang bukan Islam kerana Syarikat Insurans ini kebanyakannya dikendalikan oleh orang-orang kapitalis;
orang-orang yang bergantung kepada insurans boleh dianggap kurang meletakkan keyakinannya kepada takdir Allah dan bertawakkal kepada Allah;
dengan mempunyai Polisi Insurans seseorang itu tidak berasa khuatir untuk mendedahkan diri kepada bahaya atau membahayakan orang lain.

"Saya menaiki kapal terbang ke luar negeri. Ejen tempat saya membeli tiket telah membayar insurans bagi melindungi saya dan keluarga saya jika berlaku kemalangan dalam perjalanan. Dengan itu pihak insurans akan membayar sebanyak $10,000.00 Saya tidak dikenakan apa-apa bayaran, sebaliknya yang membayar adalah ejen tempat saya membeli tiket." Bolehkah keluarga saya menerima wang bayaran dari Syarikat Insurans jika berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian saya?

Wang pembayaran dari Syarikat Insurans itu halal diterima jika berlaku sebarang kemalangan atau kematian, kerana wang itu adalah sebagai pembayaran sagu hati. Pembayaran itu merupakan hadiah kepada keluarga si mati tanpa sebarang syarat dari pihak mereka.

Adakah saya telah melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama disebabkan ejen itu telah membayar kepada Syarikat insurans untuk melindungi saya?

Ia tidak menjadi satu kesalahan dari segi hukum kerana anda tidak meminta dibuat insurans itu dan tidak ada sebarang syarat pun. Mungkin juga anda tidak sedar adanya insurans tersebut.

 

 

 

  [ Home ]