WANG FAEDAH BANK S : Apakah hukum wang faedah simpanan dalam bank termasuk Bank Simpanan
Pejabat Pos?
J : Masalah ini telah banyak kali dibincangkan dari semasa ke semasa oleh
para ulama Islam. Sebahagian ulama telah menghalalkan dan sebahagian yang
lain telah mengharamkannya.
Mereka yang mengharamkannya berpendapat bahawa wang faedah dari simpanan
bank adalah riba. Ini kerana sebahagian dari perniagaan bank ialah memberi
pinjaman dengan mengenakan bunga dan sebahagian daripada bunga itu diberikan
kepada yang menyimpan. Kedua-duanya adalah riba yang haram pada pandangan
syarak. Dari itu haram diterima untuk penggunaan sendiri.
Mereka yang menghalalkan pula berpendapat bahawa wang yang disimpan dalam
bank bukanlah bentuk hutang yang dihutangkan oleh si penyimpan wang kepada
bank itu. Bahkan ianya bermaksud menyimpan wangnya secara sukarela demi
menjaga wangnya itu dari kehilangan ataupun bermaksud untuk menabung. Tidak
ada sebarang aqad syarie berupa lafaz antara pihak penyimpan dengan pihak
bank.
Dari itu faedah yang diberikan oleh bank, pada pendapat ulama yang
menghalalkan, bukanlah dari jenis riba hutang sehingga boleh dianggap
sebagai bunga terhadap hutang itu. Bahkan ianya adalah berbentuk
bantu-membantu antara satu sama lain. Pihak Jawatankuasa Fatwa cenderung
kepada pendapat tersebut lebih-lebih lagi kalau bank itu Bank Simpanan
Pejabat Pos yang ditadbirkan oleh pemerintah demi menjaga maslahat rakyat
jelata yang mana segala kebaikan dan kountungan daripada bank itu akan
kembali semula kepada masyarakat umum dan negara amnya. Dari itu faedahnya
tidak termasuk dalam riba yang diharamkan.
Antara ulama-ulama yang telah memfatwakan halalnya faedah dari simpanan
bank khususnya Bank Simpanan Pos adalah Almarhum Sheikh Abdullah Muhammad
Zawawi yang pernah menjadi Mufti Mazhab Shafie di Makkah pada kurun 14
Hijriah dan Sheikh Al-Azhar, Almarhum Sheikh Mahmood Shaltut.
Walau bagaimanapun berdasarkan pendapat ulama yang mengharamkan, wang
faedah itu boleh juga diambil tetapi bukan untuk kegunaan sendiri bahkan ia
wajib diserahkan kepada Baitul Mal untuk kepentingan umum kaum Muslimin.