QADIANI

S : Adakah pengikut-pengikut Qadiani dianggap kafir?

J : Dalam perbincangan mengenai perkara ini, sebuah kitab bernama "ANJAM ATHAM" dalam bahasa Urdu-Arab, yang ditulis sendiri oleh Mirza Ghulam Ahmad, telah ditimbulkan. Inilah satu-satunya kitab yang diakui sah oleh pengikut-pengikut Ahmadiyah baik di Singapura mahupun di Malaysia.

Mirza Ghulam Ahmad bukan sahaja seorang kafir murtad bahkan pengajarannya adalah sesat lagi menyesatkan. Antara hujah-hujah yang didasarkan kepada beberapa tulisan dalam kitab tersebut, nyatalah bahawa dia kafir dan sesat, umpamanya perkataan Mirza yang bermaksud:

  1. "Wahai Ahmad (Mirza) sempurnalah namamu dan tidak pula sempurna nama-Ku (Allah)."
  2. "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan (Al-Quran) berdekatan dengan Qadian."
  3. "Allah memuji engkau (Mirza) dari Arasy-Nya dan Allah datang berjalan mengadapmu (Mirza)."
  4. "Engkau (Mirza) dari mani Kami (Allah)."
  5. "Seakan-akan Allah telah turun dari langit, nama-Nya Manuwel."
  6. "Sesiapa jua manusia yang tidak beriman kepada-ku (Mirza) mereka semuanya kafir dan bakal penghuni neraka."

Selain daripada yang dinyatakan itu, masih banyak lagi perkataan dan pengakuan Ghulam Ahmad yang membuktikan bahawa dia telah kafir, Al'allamah Ash--Shaikh Muhammad Anuar Al-Kashmiri dalam kitabnya "IKFARUL MULHIDIN" menyatakan, ada 77 pengakuan Ghulam Ahmad yang kufur. Dalam pada itu pun ada juga satu pengakuannya yang terpenting sekali yang dapat dijadikan hujah untuk mengkafirkannya dan pengikutnya ialah pengakuan Mirza itu menjadi Nabi dan Rasul selepas Nabi Muhammad; ini sesudah terang-terang menyalahi Al-Quran dan Sunnah Nabi juga ijmak ulama.

Hujah-hujah ini disokong oleh fatwa Mufti Johor yang termuat dalam kitabnya yang bernama ANWARUL QURAN ALMAHIYATI LIZULUMATIMUTANABBIEN QADIYAN, penggal ketiga ms 1 hingga 4.

Berdasarkan kepercayaan Qadiani sebagaimana yang telah dibentangkan di atas tadi bahawa orang-orang Qadiani (Ahmadiyah) dan yang serupa dengannya adalah kafir dan sesat. Begitu juga fatwa-fatwa dari semua negara Islam, bahawa fahaman Ahmadiyah Qadiani adalah terkeluar dari Islam. Mayat-mayat mereka tidak boleh ditanam di perkuburan orang-orang Islam.

 

  [ Home ]