MELONTAR JAMRAH SEBELUM ZOHOR PADA 13 DZULHIJJAH

S : Lembaga Urusan dan Tabung Haji Malaysia telah mengadakan Muzakarah Haji pada Oktober 93 yang mana telah membuat keputusan membenarkan jemaah haji Malaysia melontar jamrah sebelum Zohor pada 13 Dzulhijjah. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam buku Panduan Hajinya menyatakan bahawa jemaah harus melontar jamrah selepas Zohor pada 13 Dzulhijjah. Apakah pandangan Jawatankuasa Fatwa dalam perkara ini ?

Keputusan Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (Tabung Haji/Pusat Islam Malaysia) yang dibuat di dalam perbincangannya pada 28 Mei 93 di dalam masalah melontar jamrah sebelum Zuhur pada hari ke 13 Dzulhijjah, bukanlah suatu pendapat baru, tetapi pada keseluruhannya adalah merupakan pendapat salah satu daripada Imam Mazhab yang empat dan pendapat ulama yang berselisih (yang sama mazhabnya) di antara mereka. Keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji tersebut tidaklah dapat dianggap sebagai fatwa seorang Mufti sehingga dapat dikatakan mereka telah terlibat dengan mengeluarkan fatwa mengikut qaul dhaif sedangkan berfatwa mengikut qaul dhaif ialah dilarang.

Keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji tersebut tidak lebih daripada memberitahu ataupun mengingatkan jemaah haji tentang pendapat ulama di dalam masalah ini (melontar pada pagi hari 13 Dzulhijjah) terhadap mereka yang terlibat di dalam kesukaran ketika hendak mengerjakan ibadah melontar disebabkan kesesakan di tempat melontar dan sebagainya, di samping itu tidaklah ternafi jika seseorang dalam keadaan menanggung kesusahan semasa hendak mengerjakan ibadah melontar pada waktu yang ditetapkan adalah lebih afdhal. Namun mereka dibenarkan membuat pilihan dan terpulanglah kepada diri masing-masing.

Bertaklid mengikut salah satu daripada mazhab yang empat hukumnya adalah harus tetapi mestilah mengikut syarat-syarat taklid berpandukan ketetapan ulama.

Syarat-syarat taklid iaitu :

  1. Orang-orang yang bertaklid mestilah mengetahui hukum-hukum dan syarat-syarat pada masalah mazhab yang ia ingin bertaklid dengannya;
  2. Taklid tidak dibolehkan selepas berlalu masalah ( kerumitan ) yang ditempuh ;
  3. Orang yang bertaklid itu janganlah memilih perkara-perkara yang ringan dari sesuatu mazhab semata-mata niatnya hendak bertaklid kerana itu menjadikan ia tidak menempuh dugaan dari suruhan/taklif ;
  4. Pengasas (mazhab) yang menjadi ikutannya adalah alim lagi mujtahid;
  5. Pada satu masalah yang sama, dua pendapat dari mazhab yang berlainan tidak boleh ditindih;
  6. Hukum perkara yang ditaklid itu tidak menyalahi nas al-Quran, Hadis atau Ijmak.

Terdapat pada setengah masalah fiqhiyah , taklid kepada mazhab yang lain daripada mazhab yang dianuti adalah dibolehkan sepertimana yang telah diterangkan didalam kitab mukasurat 75 & 76 bahawa Al-Allamah Ahmad bin Musa telah menyatakan tiga perkara tidak difatwakan mengikut mazhab Shafie :

Pertama: memindah zakat dari negeri sendiri ke negeri yang lain ;

Kedua: mengeluarkan zakat kepada asnaf yang satu ;

Ketiga: membayar zakat kepada seorang sahaja .

Pendapat Al-Allamah Ahmad bin Musa ini adalah sama dengan apa yang ditegaskan oleh ulama yang lain yang dari golongan ulama besar seperti Syeikh Abi Ishak dan Syeikh Yahya bin Abi Al-Khair, termasuklah Al-Faqih Al-Ahnaf dan lain-lain dan begitu juga pendapat setengah daripada ulama besar yang terkemudian yang mana mereka mengharuskan , selama untuk mengelakkan kesukaran didalam agama berdasarkan firman Allah didalam surah Al-Haj ayat 78:

maksudnya : "Dia (Allah) tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan ".

Walaubagaimanapun, jika jemaah haji Singapura tidak menempuh masalah untuk melontar, hendaklah mereka melontar selepas Zohor kerana itu adalah pendapat yang muktamad . Perlu dijelaskan disini bahawa masalah dan kesukaran yang dibolehkan untuk jemaah melontar sebelum Zohor itu adalah kesukaran dan kesusahan yang tidak melibatkan komersil.

 

 

[ Home ]