Make your own free website on Tripod.com

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T., 

Marilah sama-sama kita meningkatkan martabat ketaqwaan kita kepada Allah S..W.T., ke darjat yang paling tinggi. Kita mensyukuri nikmat iman dan Islam ini dengan melaksanakan segala kemahuan Allah dan meninggalkan segala kebencianNya. Bersyukur kita kepada-Nya kerana Islam dikurniakan kepada kita sebagai umpama satu  warisan daripada nenek-moyang kita, bukan daripada jalan susah-payah.

Orang-orang terdahulu daripada kita mencari-cari tuhan mereka yang sebenar, hatta Nabi Allah Ibrahim A.S. sendiri yang membesar seorang diri di bawah jagaan Allah di sebuah gua, apabila meningkat dewasa, baginda mencari-cari Tuhannya yang sebenar. Apabila dilihatnya bintang-bintang berkedipan di atas langit, baginda berkata : inilah Tuhanku, tetapi, tatkala bintang-bintang itu hilang baginda berkata : Sesungguhnya aku tidak suka kepada yang hilang. Begitulah pula apabila dilihatnya bulan dan kemudiannya matahari, yang paling besar antara ketiga-tiganya. Dalam pencarian itu, akhirnya Allah beri hidayah kepadanya bahawa Allahlah Tuhan yang sebenar yang layak disembah. Allah turunkan kepadanya wahyu supaya menyeru manusia meninggalkan penyembahan berhala, dan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.

Orang-orang kafir ketika itu dengan keras kepalanya tidak mahu mengikut Ibrahim yang dikatakan membawa agama baru yang bertentangan dengan apa yang disembah dan diajar oleh datuk & moyang mereka. Mereka ingkar akan kewujudan Allah Yang Maha Esa.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Seorang penyair pernah berkata :

“Tidak masuk akal sama-sekali, jika waktu siang pun perlukan kepada dalil.”

Maksudnya, dengan wujudnya waktu siang yang membolehkan manusia keluar mencari rezeki dsb, akal secara automatik mengatakan bahawa kerana matahari lah berlakunya siang tadi. Kanak-kanak kecil pun mengerti. Dan kewujudan matahari itu menjadi tanda pula wujudnya pencipta matahari tersebut. Islam memberi jawaban bahawa yang menciptakan matahari ialah Huwal-Waahidul-Qahhaar, Allah S.W.T.

Tuan-tuan apabila memasak satu lauk, misalannya kari ayam. Ayam itu ayam segar yang baru disembelih. Kemudian tuan-tuan biarkan kari tadi beberapa hari di dalam periuk yang tertutup.  Dan selepas itu tuan akan dapati bahawa periuk yang berisi kari yang basi tadi dipenuhi dengan ulat-ulat yang entah dari mana datangnya. Maasyaa Allah. Adakah ulat-ulat itu datang dari luar lalu masuk ke dalam periuk ? Adakah periuk itu asalnya memang sudah ada ulat ? atau adakah dalam daging ayam  memang ada ulat-ulat itu , yang mana kita telah makan sebelum ini dan telah masuk ke dalam tubuh kita . Subahaanallah, Maha Suci Allah yang telah menciptakan makhlukNya daripada tiada kepada ada. Maha Suci Allah yang telah mengatur perjalanan darah, makanan dan sistem-sistem dalam tubuh manusia tanpa sebarang kecacatan. Segala apa yang ada dalam tubuh manusia, walau seremeh mana pun ia, selagi belum dikeluarkan dari jasad, selagi itulah ianya diperlukan oleh tubuh.

Sebab itulah ada orang bertanya Syeikh Sya’rawi rahimahullah mengenai air kencing, ketika masih di dalam tubuh, ia tidak membatalkan wudhu, akan tetapi apabila keluar sahaja dari tubuh walaupun setitis cuma, ia membatalkan wudhu’, padahal air kencing yang keluar itu sama sahaja keadaannya dengan yang masih belum keluar tadi. Jawabannya boleh didapati daripada laman web Darul-Ifta al-Misriyyah, Kaherah. Berkata Syeikh Sya’rawi r.a :




 Maksudnya : “Selagi mana air kencing itu masih di dalam pundi-pundi kencing dalam tubuh, maka ia masih bermanfaat, kewujudannya masih diperlukan tubuh. Akan tetapi, tatkala ia keluar sahaja daripada sempadan tubuh, ia telah menjadi fadhlah (lebihan) dan tidak diperlukan lagi oleh tubuh. Oleh sebab itulah kita  perlu bersuci kerana ianya telah menjadi najis dan lebihan yang telah ditolak keluar oleh badan daripada dalam. Kedaannya samalah seperti al-biraaz dalam bahasa Melayunya 'berak' atau buang air besar." 

Berbalik kepada ulat-ulat tadi, jika dilihat sepintas lalu, ini sudah tentu perkara ganjil, sudah pasti akan terlintas di fikiran orang-orang yang berakal bahawa dari manakah datangnya ulat-ulat ini ? Tetapi ahli sains sudah tentu boleh memberikan jawapnnya pasti dan sains pun adalah sebahagian daripada Islam. Sains dan Islam selari, tidak ada kontradiksi. Apa yang diperkatakan oleh sains moden sudahpun ada di dalam Al-Quran dan Al-Hadith. 


Maksudnya : “ Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu kedua-duanya dahulu adalah satu padu, kemudian kami pisahkan antara kedua-duanya . Dan daripada air Kami jadikan segala seseuatu yang hidup. –al-Anbia’ : 30

 

Sidang Jumaat dan Jamaah yang dirahmati Allah sekalian,

Dr. Yusof Al-Qardhawi ketika membicarakan tentang dalil-dalil alam tentang kewujudan Allah, beliau membahagikannya kepada 4 :

PertamaDalilul-Khalqi (Penciptaan). Iaitu menzahirkan sesuatu daripada tiada kepada ada seperti penciptaan nyawa bagi semua hidupan di muka bumi, menciptakan manusia yang berakal yang   lam yakun syai-an madzkuura (ketika itu belum merupakan sesuatu yang disebut), penciptaan langit dan bumi yang merupakan paling besar daripada penciptaan manusia dll. Adakah semuanya ini wujud tanpa adanya muujid (pencipta)? Tentulah mustahil demikian.

 

KeduaDaliilut-Taswiyah (Pengelokkan) – Jika penciptaan itu menunjukkan kewujudan Allah, maka pengelokkan ini lebih lagi menunjukkan kekuasaan dan kewujudan Allah kerana boleh berlaku penciptaan tanpa pengelokkan. Maknanya ialah memperelokkan ciptaan yang mana menjadikannya bersedia ia melaksanakan tanggungjawabnya. Allah berfirman :

Maksudnya : “Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya

Bumi misalanya, Penciptanya telah menjadikkannya sesuai untuk kehidupan manusia. Oleh sebab itulah Allah bentangkannya dan jadikannya dzaluulaan (mudah bagi kita untuk berjalan, bercucuk tanam  dsb). Seandainya kulit bumi ini semuanya batu, atau semuanya kering, atau semuanya lautan, nescaya tidak sesuai  lagi untuk ditumbuhi tanaman.

Unta diciptakan cocok dengan kehidupannya dan perjalanan panjangnya di padang pasir. Sebab itulah ia dicipta dengan tengkok yang panjang menjadikan  tinggi kepalanya, boleh mengelakkan matanya daripada debuan pepasir. Begitu juga diberikan bibir mulut yang merekah supaya ia boleh makan tumbuhan berduri tanpa mencederakannya, diberi juga bonggol yang boleh menyimpan lemak yang boleh digunakan apabila ketiadaan makanan sehari perjalanan.

Manusia pula diciptakan ahsanu taqwiim (sebaik-baik penciptaan). Ia diciptakan untuk untuk memikul satu tugas yang besar iaitu as-siaadah al-ardh (pemerintahan di atas muka bumi). Oleh sebab itulah, ia diberi banyak keistimewaan dan kelebihan, diberikan kelengkapan rohani dan jasmani yang membolehkan ia melaksanakan tanggungjawabnya.

Apa akan jadi seandainya sifat-sifat yang ada pada unta tadi diapplykan kepada manusia keseluruhannya. Sungguh tidak sesuai. Maha Suci Allah daripada sifat-sifat terkeji.

KetigaDaliilut-Taqdiir (Ukuran) – iaitu menciptakan sesuatu dengan kadar, timbangan, tertib dan ukuran tertentu yang bersesuaian dengan tempat dan zamannya, selaras dengan benda-benda lain samada yang dekat dengannya atau yang jauh daripadanya.

Kalau at-taswiyah memberikan rupa bentuk makhluk yang selayaknya, at-taqdiir pula memberikan kadar tertentu yang boleh manfaatkannya pada dirinya dan tidak memudaratkan makhluk lain. Allah S.W.T. berfirman :

Maksudnya : “Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu mengikut ukuran  - Al-Qamar : 49

Air umpamanya, Allah telah perelokkan bentuknya dan menjadikannya bersedia untuk melaksanakan tugasnya seperti mengairi tanaman, menghilangkan dahaga, digunakan untuk bersuci, membasuh dsb. Akan tetapi, air yang Allah ciptakan dan letakkan di bumi ini adalah mengikut kadarnya yang mana tidak kurang daripada keperluan makhluk yang boleh menyebabkan kemarau dsb dan juga tidak lebih daripada keperluan makhluk yang boleh menyebabkan banjir. Allah S.W.T. berfirman :


Maksudnya : “Dan Kami turunkan air dari langit menurut suatu ukuran
"  al-Mukminun : 18

KeempatDaliilul-Hidayah (Hidayah/Naluri)– Setelah Allah ciptakan makhlukNya, perelokkannya, ciptakannya mengikut ukuran dan kadarnya, pada peringkat keempat ialah Allah berikan hidayah bagi setiap makhluknya termasuk tumbuhan, manusia, haiwan, makhluk yang bernyawa dan yang tidak bernyawa, yang berakal dan yang tidak berakal, yang bisu dan yang boleh berkata-kata  dsb supaya mereka boleh melaksanakan tugas masing-masing.

Hidayah diberikan bukan hanya untuk makhluk yang bergerak dan berkeinginan seperti manusia dan haiwan sahaja, ini telah dijelaskan oleh Al-Quran  di atas atas lisan Nabi Musa A.S. ketika Firaun bertanya kepadanya :

 
"
Siapa Tuhan kamu berdua hai Musa ?"

 
Musa berkata : "Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk"   Taha : 49-50

 

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Lihatlah kepada haiwan-haiwan yang telah Allah berikan padanya alat khas khusus untuknya membina kehidupan masing-masing. Kita dapati  bahawa helang seolah-olah diberi mata teleskop yang boleh melihat mangsa kecilnya dengan jelas dari udara sementara serangga-serangga halus pula diberi mata mikroskop. Burung merpati pula yang terbang jauh beribu-ribu km boleh pulang kembali ke tempat asalnya dengan tepat, tanpa kompas dan tanpa peta. Serangga seperti semut pula keluar beramai-ramai mencari rezeki di musim panas dan disimpan di sarangnya untuk kegunaan di musim sejuk yang mana pada musim itu, mereka tidak boleh lagi keluar mencari rezeki. 

Ibnu Qayyim dalam kitabnya Syufaa ul-‘aliil fi masaailil-qadhaa wal-qadar wal-hikmata wat-ta’liil berkata : Antara hidayah Allah kepada binatang buas yang betina, apabila binatang ini melahirkan anaknya, ia akan mengangkatnya ke udara selama beberapa hari untuk mengelakkannya daripada debu dan semut-semut kecil, kerana anak yang baru dilahirkan itu adalah seperti seketul daging, yang masih basah dan lemah.

Lihat pula kepada gajah betina apabila nak melahirkan anak. Dicarinya kawasan yang berair  barulah dilahirkan anaknya. Ini adalah kerana gajah tidak seperti binatang lain, hanya gajah yang melahirkan anak sambil berdiri disebabkan bentuk tubuhnya yang berbeza dengan haiwan-haiwan lain. Oleh kerana takutkan anak yang bakal dilahirkan nanti jatuh ke tanah yang boleh menyebabkannya cedera dsb, maka dicarilah tempat berair cetek , barulah ia lahirkannya.

Jadi, siapakah yang mengajar binatang-binatang ini semua ? Siapakah yang mengajar rusa supaya tidak masuk ke sarangnya melainkan  dalam keadaan undur supaya boleh ia awasi musuhnya ?  Siapakah yang mengajar seekor singa, apabila ia berjalan dan tak mahu jejaknya diketahui mangsa, dihapuskannya bekas tapak kakinya dengan ekornya sambil ia berjalan ? Alaaa wa huwa Llah.

Sudah jelas kepada kita akan kewujudan Allah S.W. T. walaupun kita tidak dapat melihatNya di dunia ini. Tidak bererti yang tidak kelihatan dengan mata kasar itu tidak wujud, kita percaya bahwa arus elektrik itu ada tetapi kita tidak mampu melihatnya dengan pancaindera kasar kita.

Pernah Abu Hanifah ketika usianya masih remaja berdebat dengan Yahudi bernama Dahri. Si Dahri bertanya kepada Abu Hanifa. Adakah tuhan itu wujud? Seandainya wujud, di mana tempatnya dan kenapa tak boleh dilihat. Abu Hanfa menjawab, adakah tuan percaya dalam tubuh tuan ada nyawa ? Ya, bahkan setiap yang hidup ada nyawanya atau roh., kata si Dahri. Kalau begitu, di manakah letaknya nyawa itu, di kepalakah, atau di perutkah atau di telapak kakikah ? Dahri yang mendengar pertanyaan itu tidak boleh berkata apa-apa, tercenggang dengan hujah Abu Hanifah. Kemudian Abu Hanifah membawa segelas susu, lalu bertanya kepada Dahri, percayakah tuan di dalam susu ini ada mengandungi lemak ? Ya, jawab Dahri. Tahukan tuan di manakah letaknya lemak itu, di bahagian atas kah atau di bahagian bawahnya ? Sekali lagi Dahri terpukul dengan soalan Abu Hanifah. Nah, persoalan yang sekecil inipun tuan tak boleh jawab, apa lagi mahu membicarakan zat Allah yang Maha Pencipta nyawa semua makhluk dan pencipta lemak di dalam susu ini.

Sesungguhnya alam ini dan isinya tidak berlaku secara musoodafah (kebetulan) sebagaimana yang dijaja oleh para materialis, kerana kebarangkalian  untuk berlaku secara konsisten amat tipis sekali, sekalipun boleh berlaku, tapi ianya mustahil akan berulang dan tetap.

Sebagai contohnya, ambil 10 kad yang ditulis setiap satu dengan nombor-nombor dari satu hingga sepuluh secara berurutan. Letakkannya di poket anda, goncangkannya, kemudian cuba ambilnya kembali satu persatu mengikut urutan 1 hingga 10. Sesungguhnya kebarangkalian untuk menarik kad bernombor 1 adalah mengikut nisbah 1 hingga 10, kebarangkalian menarik kad bernombor 1 dan 2 secara berurutan adalah 1 hingga 100 kali, kebarangkalian  menarik kad bernombor 1, 2 dan 3 secara berurutan adalah 1 hingga 1000 kali, kebarangkalian  menarik kad bernombor 1, 2, 3 dan 4 secara berurutan adalah 1 hingga 10,000 kali, begitulah seterusnya hingga kebarangkalian menarik kad-kad tadi dari no. 1 hingga no. 10 secara berurutan adalah sebanyak 1 hingga 10 juta kali.

Contoh yang ringkas lagi simple ini memberitahu kita bahawa segala yang berlaku secara tak sengaja atau kebetulan ini amat sukar sekali untuk berulang dan mustahil akan boleh berlaku berterusan. Akan tetapi apa yang kita lihat sekeliling kita seperti pertukaran siang & malam, perjalanan matahari & planet-planet lain mengikut orbitnya dll lagi  ini berlaku dengan bersistematik, tersusun tanpa ada cacat dsb, mustahil ianya berlaku secara kebetulan tanpa ada yang mengawalnya.

 

Oleh itu, sidang Jumaat sekalian, kalau sudah begini jelaslah kewujuan dan keesaan Allah, mengapakah masih ada lagi umat Islam yang senang-senang meninggalkan agama ini semata-mata kerana habuan dunia yang sementara. Pergi keluar negara, berucap di hadapan khalayak Kristian, menceritakan pengalaman pahit semasa Islam dan dapat kenal Tuhan Jesus yang sebenarnya dalam Kristian dsb hingga diberi tepukan gemuruh oleh musuh-musuh Islam seolah-olah berbangga dengan kejayaan mereka memurtadkan seorang perempuan Melayu Malaysia. Ucapannya ini tersebar luas di internet ketika ini.  Sedang di satu pihak yang lain ada hati-hati yang berperang  antara kepentingan diri, keluarga, masa depan, harta-benda dsb demi cintakan agama Islam.  Bilal bin Rabah misalanya sanggup mati diseksa oleh kaum musyrikin Quraisy demi kerana hendak pertahankan kalimat tauhid ahad, ahad, ahad.  

Sewajarnya kita mengambil iktibar daripada bekas paderi seluruh Sabah iaitu paderi Thomas yang telah memeluk Islam di atas kesedaran beliau akan kesucian Islam dan kebatilan Kristian yang dianutinya dan dipelajarinya selama 12 tahun di sekolah kepaderian dan pernah ke Vatican City.


Maksudnya : “Allah membiarkan sesat orang-orang yang dikehendakiNya dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

 

__________________________________
rujukan :
1 - Wujuudu-Llah - Dr. Yusof Al-Qardhawi
2 - Laman Web Fatwa Darul Ifta Al-Misriyyah, Kaherah
3 - Al-Quran & Terjemahannya

Disampaikan oleh : Mazuki Izani Ismail
Tempat : Pusat Islam UiTM Kampus Kota Kinabalu
Pada : 13 April 2001

 

 

Hakcipta © Mazuki Izani El-Besuty (14 April 2001) 

[ Home ]